| 35 Anggota Kor SUKSIS UTHM Sertai Perbarisan Tamat Latihan |
|
BATU PAHAT 10 Julai - Seramai 35 anggota Kor SUKSIS UTHM telah menyertai 20 Kor SUKSIS IPTA bertandang ke kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor SUKSIS IPTA SeMalaysia Kali ke 7 Tahun 2011. Sesi latihan berpusat di UTM yang bermula pada 26 Jun 2011 telah berjaya mempamerkan gerak formasi dan kawad yang bermutu tinggi semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor SUKSIS yang berlangsung 10 Julai 2011.
Sempena dengan majlis ini juga seramai 770 anggota Kor SUKSIS IPTA telah mengambil bahagian dan menerima sijil yang telah diadakan di Padang Kawad UTM selaku tuan rumah pada tahun 2011. Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara telah menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan bagi seramai 102 anggota Kor SUKSIS yang diketuai oleh KS Hamzah Harjono.
Pada majlis ini menyaksikan KS24566 Saiful Izwan bin Ali, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM telah dinobatkan sebagai salah seorang pelatih terbaik yang terdiri dari 20 anggota yang menerima hadiah sebagai pelatih terbaik keseluruhan. Ketua Polis Negara juga telah menyempurnakan majlis penyampaian semua hadiah dan sijil kepada semua pelatih dalam majlis gilang gemilang yang diadakan di Dewan Tuanku Iskandar selepas sesi perbarisan formasi di Padang Kawad.
Sementara itu, KS24585 Nurul Farehah binti Ramli, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar telah terpilih sebagai pelatih terbaik akademik dan KS24548 Mohamad Najib bin Kamalluden dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan terpilih sebagai pelatih terbaik bagi kategori latihan luar bagi mewakili kontinjen UTHM. Masing - masing telah menerima hadiah pada majlis tersebut.
Tan Sri Ismail bin Haji Omar memuji kebolehan anggota Kor SUKSIS mempamerkan formasi dan kawad yang bermutu tinggi setanding dengan mereka yang dilatih di pusat latihan polis. Beliau juga telah menggalakkan anggota Kor SUKSIS akan terus aktif dalam dunia kepolisan dan menjadi mata serta telinga polis bagi membantu PDRM menjamin keamanan dan keharmonian Negara. |
|
| Last Updated ( Rabu, 20 Julai 2011 ) |