Hari Bersama Pelanggan 2012 - PPH perkenal Sistem Atas Talian “Facility Management (FM) Helpdesk"
Hear this article
Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Hartabina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Sistem Atas Talian "Facility Management (FM) Helpdesk dan Hari Bersama Pelanggan PPH 2012 pada 24 April 2012 yang lalu.
 
Program ini bertujuan untuk melancarkan sistem atas talian FM Helpdesk dan sekaligus mempromosikannya kepada warga UTHM mengenai penggunaan sistem berkenaan. FM Helpdesk merupakan satu sistem saluran aduan segera bagi sebarang cadangan atau aduan kerosakan dan masalah penggunaan fasiliti serta peralatan di bawah skop pembangunan dan pengurusan fasiliti di pejabat ini. Sistem ini dibangunkan untuk menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan kepada seluruh pelanggan PPH dan boleh dicapai melalui laman di http://pph.uthm.edu.my.

Sejajar dengan misi dan visi PPH, program ini merupakan salah satu usaha warga kerja PPH untuk memberi pendedahan kepada seluruh kampus berkaitan peranan dan fungsi pejabat di samping mempromosikan bahagian-bahagian di bawah PPH dalam metodologi mengendalikan kes aduan kerosakan dan kaedah-kaedah trouble-shooting.
 
Program Hari Bertemu Pelangggan yang berlangsung pada 24 hingga 26 Mac ini dijadikan medium untuk PPH mendekati dan memahami isu dan permasalahan staf dan pelajar secara langsung dalam penggunaan fasiliti di universiti sekaligus menberikan perkhidmatan dan maklumbalas berterusan secara segera dan bersistematik.

Majlis Pelancaran Sistem Atas Talian "Facility Management (FM) Helpdesk dan Hari Bersama Pelanggan PPH 2012 ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dan julung-julung kalinya diadakan di Dewan Serbaguna UTHM.  Program ini juga merupakan sebahagian daripada kerja-kerja "Testing and Comissioning" bagi projek tersebut.

Bertemakan "Kampus Lestari, Fasiliti Berkualiti - 1 Transformasi", pelbagai program telah diadakan antaranya Pameran Pembangunan dan Fasiliti, Seminar "Kampus Lestari, Fasiliti Berkualiti - 1 Transformasi", Bicara Insaniah, Roadshow PPH Bersama Kepimpinan Pelajar dan Kolej Kediaman, Persembahan Kebudayaan serta Live Band.

Di samping itu, warga PPH turut bekerjasama dengan pertubuhan AMAN PALESTIN bagi menganjurkan beberapa program amal bagi mengisi Tabung Amal AMAN PALESTIN antaranya tayangan filem amal dan program-program anjuran "AMAN PALESTIN - aku jatuh cinta padamu, Palestin".

Sementara itu, gerai-gerai korporat yang terdiri daripada pihak pembekal dan perunding projek turut mengadakan sesi pameran bertemakan "Transformasi Pembangunan" di ruang utama dewan dan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan serta hadiah menarik. Pada masa yang sama, peniaga-peniaga gerai yang terdiri daripada penduduk tempatan juga turut mengambil peluang memasarkan produk masing-masing sepanjang program berlangsung.


Urusetia
Majlis Pelancaran Sistem Atas Talian "Facility Management (FM) Helpdesk dan
Hari Bersama Pelanggan PPH 2012